Search
Close this search box.

Serba Tak Kena, Harimau Malaya Tumbang Perlawanan Pertama Piala Asia

Harapan peminat bola sepak negara untuk melihat Skuad Harimau Malaya mencipta kejutan pada perlawanan pembukaan kejohanan Piala Asia 2023 terkubur apabila tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi Kumpulan E di Stadium Al Janoub, pagi tadi.

Malangnya, kekalahan besar itu dialami skuad negara ketika penyokong Harimau Malaya meletakkan harapan tinggi untuk anak buah Kim Pan Gon sekurang-kurangnya meraih satu mata berdepan pasukan di ranking ke-87 dunia.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila pintu gol Harimau Malaya yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bocor pada minit ke-12 menerusi rembatan lencong bekas pemain import Kedah Darul Aman (KDA), Mahmoud Al Mardi.

Belum sempat skuad negara bangkit, Jordan pula memperoleh sepakan penalti selepas pengadil meneliti video bantuan pengadil (VAR) dan mendapati ada kekasaran dilakukan Matthew Davies terhadap Yazan Al Naimat.

Peluang keemasan itu kemudian digunakan sepenuhnya oleh Mousa Tamari untuk meledak gol kedua Jordan pada minit ke-18.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-32, kelekaan pertahanan negara sekali lagi dihukum dengan jaringan Al Mardi yang mudah menolak masuk bola ke gawang selepas menerima umpanan Al Naimat.

Meskipun Malaysia dilihat beraksi dengan lebih baik pada babak kedua, namun tetap tidak mampu untuk menyekat Tamari daripada melengkapkan kemenangan bergaya Jordan dengan meledak gol keempat pasukannya pada minit ke-85.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories