Nestlé Malaysia Mulakan Pengeluaran NESCAFÉ Espresso Concentrate Di Shah Alam

Nestlé Malaysia hari ini menandakan satu pencapaian penting dengan pelancaran rasmi pengeluaran NESCAFÉ Espresso Concentrate di kilang Sri Muda, Shah Alam (Selangor). Pelancaran ini memperkukuhkan lagi peranan strategik Malaysia dalam rangkaian pengeluaran dan inovasi global Nestlé. Dengan pelancaran penting ini, NESCAFÉ menyediakan penyelesaian produk inovatif dan berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan kopi sejuk yang semakin berkembang pesat di seluruh Asia.

Kilang Sri Muda di Shah Alam merupakan pangkalan pengeluaran utama bagi produk Sedia-Untuk-Diminum (RTD) UHT dan PET boleh dikitar semula (rPET) di rantau ini. Dengan penambahan keupayaan dan pelaburan baharu dalam penghasilan Coffee Concentrate,  tapak ini kini menjadi antara salah satu yang paling maju di dunia, selepas  melengkapkan pelaburan melebihi setengah bilion ringgit sepanjang dekad lepas. Barisan pengeluaran baharu ini akan memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport yang semangkit meningkat termasuk Singapura, Oseania, serta MENA (UAE, Qatar, Kuwait) dengan potensi pengembangan ke negara ASEAN lain, dan juga Eropah. Dengan langkah strategik ini, kilang Sri Muda Nestlé mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai hab pengeluaran Halal utama Nestlé di seluruh dunia.

Malaysia sekali lagi dipilih oleh Kumpulan Nestlé secara global sebagai lokasi pengeluaran strategik dan hab sumber bekalan untuk pasaran Asia, berdasarkan infrastruktur yang kompetitif, bakat tempatan, dan kemampuan yang terbukti. Malah, Kilang Sri Muda Nestlé Malaysia di Shah Alam mempunyai rekod cemerlang dalam pengeluaran produk cecair, kerana ia sudah menghasilkan pelbagai produk RTD di bawah jenama MILO, NESCAFÉ dan NESTLÉ OMEGA PLUS. Lokasinya yang strategik juga membolehkan akses yang efisien kepada sumber bahan mentah, tenaga kerja mahir, dan infrastruktur logistik yang kukuh, sekaligus memperkukuhkan peranannya sebagai hab eksport.

Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, berkata, “Penyempurnaan pelaburan ini dan pelancaran rasmi hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Nestlé Malaysia. NESCAFÉ Espresso Concentrate dijangka memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu dan inovatif dalam ruang kopi yang sangat dinamik, khususnya bagi generasi muda yang sedang meneroka budaya kopi. Dengan Kumpulan Nestlé memperbaharui kepercayaan terhadap Nestlé Malaysia untuk melaksanakan projek penting seperti ini, kami sedang membuka platform baharu untuk pertumbuhan masa depan, sambil menyediakan cara yang menarik dan mudah untuk menikmati jenama kopi kegemaran rakyat Malaysia: NESCAFÉ! Melalui projek ini, kami juga akan mewujudkan peluang pekerjaan tambahan dan memperkukuhkan lagi peranan kami sebagai Hab Eksport Serantau dan pusat pengeluaran Halal utama untuk Kumpulan Nestlé secara global.”

Raef Labaki, Pegawai Eksekutif Perniagaan Kopi, Nestlé Malaysia, menambah, “NESCAFÉ Espresso Concentrate adalah inovasi yang menarik yang mencerminkan bagaimana kami membentuk masa depan pengalaman kopi untuk pengguna. Produk ini membolehkan kami meraih segmen kopi sejuk yang berkembang pesat, khususnya di kalangan pengguna muda yang mahukan pengalaman kopi premium ala kafe di rumah. Pelancaran ini mengukuhkan komitmen NESCAFÉ untuk menyediakan secawan kopi yang hebat bila-bila masa, di mana sahaja, menggunakan biji kopi Arabica dan Robusta berkualiti tinggi, untuk dinikmati oleh semua pencinta kopi di Malaysia dan rantau ini.”

Seiring dengan aspirasi kelestarian global Nestlé, NESCAFÉ Espresso Concentrate dibungkus dalam botol PET 100% boleh dikitar semula (rPET) dan penutup bebas Pigmen Hitam Karbon. Malah, Kilang Sri Muda telah menjadi peneraju global dalam penggunaan penyelesaian pembungkusan mesra alam, termasuk mengurangkan lebih 1 bilion straw plastik sejak 2019, menggantikan pembalut plastik dengan penyelesaian kertas lestari, dan menjadi syarikat pertama di ASEAN yang menggunakan 100% rPET untuk semua minuman botol.

Pencapaian ini adalah kesinambungan pelaburan mendalam dan berterusan Nestlé di Malaysia. Dalam tempoh lima tahun terakhir sahaja, syarikat telah melabur hampir RM1.5 bilion untuk memperluas dan menaik taraf jejak dan kemampuan tempatan, termasuk pembangunan bersama hab logistik bersepadu yang canggih di Pelabuhan Klang yang dijangka siap pada 2026, serta peningkatan besar ke fasiliti utama seperti kilang MILO di Chembong dan kilang Batu Tiga. Usaha-usaha ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing, memastikan operasi masa depan terjamin, dan membangunkan bakat tempatan selaras dengan perjalanan pertumbuhan lestari Nestlé.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories