Legoland Malaysia Bakal Perkenal Tarikan Baharu Tahun Ini

Legoland Malaysia Resort bersedia bangkit dan memainkan peranan penting untuk memulihkan industri pelancongan di Malaysia dengan membariskan beberapa daya tarikan baharu pada 2024.

Antara acara menarik yang akan dilancarkan pada tahun ini adalah ‘The Master Model Builder Search’, BrickFest dan filem LEGO Friends 4D.

Dengan barisan strategik yang menggabungkan pengalaman budaya, tarikan baharu dan tawaran pendidikan khas, Legoland Malaysia bersedia untuk menarik pelawat antarabangsa bagi menyokong sasaran pelancongan antarabangsa yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) untuk 2024.

Pengarah Bahagian Legoland Malaysia Resort, CS Lim, berkata Legoland adalah lebih daripada sekadar taman tema dan juga pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan di Johor.

“Tumpuan kepada pengalaman budaya yang unik dan hiburan mesra keluarga sejajar dengan visi MOTAC, menjadikan kami menarik kepada pelancong antarabangsa dan domestik.

“Legoland Malaysia sedang giat bekerjasama dengan MOTAC untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan keluarga yang terulung,” katanya.

“Pas tahunan kami memberikan nilai hebat dengan akses tanpa had, acara istimewa dan diskaun mana yang dapat menggalakkan keluarga untuk sering datang melawat dan meningkatkan pelancongan tempatan.

“Kerjasama rapat antara MOTAC dan perniagaan tempatan membantu kami menyokong matlamat pelancongan negara dan mengukuhkan hubungan dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia, Thila Munusamy, berkata pihaknya sedang mempromosikan Legoland di Indonesia, Thailand dan negara Asia Tenggara yang lain.

Katanya, mereka juga menjangkakan lebih ramai pelawat yang akan datang mengunjungi Legoland pada tahun ini.

“Kami juga menyediakan banyak aktiviti membina Lego. Selain itu, cara terbaik untuk menikmati Legoland adalah dengan mendapatkan pas tahunan dengan hanya membayar harga penuh untuk satu hari, anda boleh menikmati 365 hari di Legoland,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories