Search
Close this search box.

Aveta Hadiahkan Motosikal Ranger Max Explorer Kepada ‘Cikgu Offroad’

Aveta Malaysia selaku syarikat tempatan, pemasang dan pengedar motosikal jenama Aveta telah menghadiahkan 3 unit motosikal Aveta Ranger Max Explorer kepada Cikgu Ben Zaid bersama-sama dengan dua rakan pengajarnya.

Pemberian motosikal ini adalah komitmen Aveta bagi membantu guru-guru tersebut meneruskan khidmat mendidik dan mengajar anak-anak masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di Kelantan.

Motosikal tersebut telah diserahkan di dalam sebuah majlis “Off-Road Education Outreach: Teachers Rally with Aveta” yang telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di Mutiara Damansara hari ini.

Setiap minggu, Cikgu Ben Zaid dan rakan-rakan gurunya menempuh perjalanan sejauh 60km mengharungi laluan balak dan berbukit serta hutan belantara untuk sampai ke destinasi untuk mengajar anak-anak Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Kelantan. Ketika cuaca baik, perjalanan mereka ke kawasan pedalaman mengambil masa kira-kira 3 jam sahaja. Bagaimanapun, ketika musim hujan, laluan tersebut menjadi berbahaya dan perjalanan mungkin mengambil masa 10 jam.

Cikgu Ben, turut dikenali sebagai ‘Cikgu Offroad’ di media sosial, merakamkan dan berkongsi video perjalanan mencabar guru-guru tersebut berulang-alik ke perkampungan Orang Asli di pedalaman. Perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet dan ramai yang menghubungi pihak syarikat untuk berkongsi cerita dan pengorbanan Cikgu Ben sambil mencadangkan motosikal Ranger Max Explorer yang ketika itu baru dilancarkan sekitar November 2023 untuk digunakan bagi membantu guru-guru tersebut melalui perjalanan mereka meredah hutan kerana mereka tahu motosikal  ini tahan lasak dan berkeupayaan mengharungi bentuk muka bumi yang mencabar dan sangat sesuai digunakan di kawasan terpencil.

“Mendidik anak-anak murid saya di Pos Balar ialah tanggungjawab istimewa yang sanggup saya terima. Tidak dinafikan ada pelbagai cabaran yang kami hadapi sepanjang perjalanan. Bagaimanapun, pendidikan penting untuk membolehkan semua rakyat Malaysia tidak kira di  pelusuk daerah mana turut serta dalam kemajuan dan kemakmuran negara dan inilah yang mendorong dan membakar semangat saya untuk menyahut cabaran ini. Saya terhutang budi kepada pengikut saluran media sosial saya yang menyebarkan misi saya kepada Aveta Malaysia dan amat menghargai sokongan yang diberikan. Semestinya sumbangan ini akan membantu memenuhi tanggungjawab kami sebagai tenaga pengajar,” kata Cikgu Ben Zaid di majlis penyerahan yang diadakan di Royale Chulan, Damansara.

Cikgu Ben menambah, “Ciri-ciri istimewa yang terdapat pada Ranger Max Explorer ini termasuk brek cakera 2-piston di depan, tayar dwiguna, jarak antara dasar motosikal dengan permukaan tanah yang lebih tinggi, menjadikan perjalanan kami berulang-alik ke sekolah lebih lancar. Jentera ini menampilkan kerangka tulang T berganda yang ringan dengan reka bentuk yang dipatenkan khusus untuk memberikan jaminan pengendalian dan kestabilan tunggangan di atas pelbagai jenis permukaan jalan. Di samping itu, kapasiti muatan tambahan yang lebih banyak membolehkan saya dan rakan-rakan membawa lebih banyak peralatan dan bekalan untuk anak-anak murid kami nanti”.

Steven Lim, Pengarah Urusan Aveta Malaysia, berkata “Semasa kami melancarkan Ranger Max Explorer, kami menerima pelbagai ulasan dan komen daripada warganet, yang semuanya memaparkan kisah kegigihan dan kesungguhan Cikgu Ben dan rakan-rakan pendidiknya. Pengembaraan jalan lasak memang mencabar, malah beberapa motosikal yang mempunyai keupayaan serba boleh sahaja yang mampu untuk mengharungi perjalanan sedemikian. Menghadapi laluan mencabar yang menguji keupayaan motosikal dan juga penunggang, ketabahan guru-guru ini untuk mendidik anak-anak Orang Asli benar-benar memberi inspirasi kepada kami. Usaha murni mereka telah menyentuh hati kami dan mendorong kami untuk menghulurkan bantuan. Oleh sebab itu, tiga unit motosikal ini kami lengkapkan khusus untuk menempuh muka bumi yang lasak bagi meringankan beban Cikgu Ben dan pasukannya, membolehkan mereka memberi lebih tumpuan kepada misi pendidikan masing-masing. Malah, kami turut memberikan waranti 2 tahun kepada mereka supaya mereka tidak perlu bimbang berkenaan motosikal mereka dan menumpukan perhatian kepada tanggungjawab mendidik. Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak memberi kesan dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan anak-anak Orang Asli di Pos Balar.”

Steven menyambung, “Bak kata pepatah, guru bagaikan pelita. Guru-guru seperti Cikgu Ben dan ramai lagi di seluruh negara berusaha gigih untuk meningkatkan kualiti pendidikan anak bangsa tidak kira di sekolah mana sekalipun. Sebagai syarikat jati Malaysia, kami rasa terpanggil untuk menyokong usaha murni mereka demi kesejahteraan Malaysia pada masa hadapan.

Dalam perincian lain, motosikal Aveta Ranger Max Explorer menjanjikan prestasi cemerlang di atas jalan lasak dengan pengendalian yang mudah dengan dipadankan bersama hendal yang tinggi, kedudukan footpeg yang boleh dilaraskan walaupun ketika menunggang berdiri. Selain itu, motosikal ini juga menggunakan rim berbilang jejari selain dibekalkan dengan tangki 8.5 liter yang mampu menawarkan perjalanan yang lebih jauh. Malah ia menggunakan fork hadapan jenis teleskopik manakala di belakang, ia dilengkapi dengan dua  penyerap hentakan berisi gas yang memberikan keselesaan semasa menunggang di laluan lasak.

Maklumat lanjut mengenai Ranger Max boleh didapati di https://www.aveta.com.my/rangermax/.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories