Search
Close this search box.

Sah! Tesla Bakal Buka Ibu Pejabat Di Malaysia

Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Ini selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.

Kemasukan Tesla ke Malaysia telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif ‘BEV Global Leaders’ bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.

Di samping itu, inisiatif ini bertujuan untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kehadiran pengeluar kereta elektrik di Malaysia dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di peringkat domestik dan global.

Kami gembira dengan keputusan Tesla untuk turut serta dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Ini membuktikan keyakinan Tesla terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia.

Walaupun telah banyak jenama global utama memilih untuk melabur di Malaysia, MITI dan agensinya akan terus meningkatkan usaha dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, sambil terus menaikkan profil Malaysia sebagai negara pro-perdagangan, pro-industri dan pro-pelaburan.

Tesla Inc adalah multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Austin, Texas yang terbabit dalam bidang autommotif, kecerdasan buatan dan tenaga bersih.

Ia mereka bentuk dan mengeluarkan EV (kereta dan trak), simpanan tenaga bateri dari rumah ke skala grid, panel solar serta produk dan perkhidmatan berkaitan.

Tesla adalah salah satu syarikat paling bernilai di dunia dan setakat ini, ia adalah pengeluar kenderaan paling bernilai di dunia. Syarikat itu mempunyai lebih 120,000 pekerja di seluruh dunia.

Sumber: Berita Harian

 

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories