Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) memberi jaminan tidak akan menaikkan harga kenderaan sedia ada ketika ini walaupun berhadapan dengan inflasi dan lonjakan kos bahan mentah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata walaupun berdepan dengan peningkatan kos bahan mentah dan sebagainya, PERODUA masih lagi boleh mengawalnya dan mengekalkan harga kereta sedia ada.
Walau bagaimanapun model dipertingkatkan dan model baharu akan mengalami perubahan harga kerana disebabkan oleh peningkatan kapasiti atau teknologi yang digunakan.
Zainal Abidin berkata, bagi memastikan PERODUA kekal menjadi jenama kenderaan pilihan, kumpulan turut memperuntukkan sebanyak RM 1.15 bilion perbelanjaan modal bagi menambahbaik operasi.
Antara bidang utama penambahbaikan termasuk bahagian perniagaan baharunya di mana PERODUA sedang meluaskan perniagaan Kenderaan Terpakai (POV), terutamanya selepas mendapat maklum balas positif daripada orang awam selepas pelancaran Ativa Hybrid pada September 2022.
PERODUA juga memperuntukkan RM 537.1 juta untuk pembangunan model baharu serta RM 247.1 juta untuk memodenkan lagi operasi termasuk menaiktaraf pusat 1S dan 2S sedia ada kepada pusat 3S.
Sumber: Berita Harian