Hafidz Roshdi Mengaku Tidak Bersalah Tumbuk Isteri

Pelakon Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali hingga luka di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pada 2 Mac lalu.

Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.30 pagi pada 2 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala Hafidz diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.

Sumber: Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories