Manchester City mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ketiga berturut-turut selepas pencabar mereka, Arsenal tumpas 1-0 kepada Nottingham Forest awal pagi tadi.
Jaringan tunggal Taiwo Awoniyi pada minit ke-19 menjadi pemusnah The Gunners, dan memastikan City akan menjulang trofi sebelum bertemu Chelsea di Etihad malam ini.
Arsenal mendahului selama 248 hari pada musim 2022-2023, paling banyak tanpa menamatkan saingan dalam sejarah liga utama Inggeris. Pasukan kendalian Mikel Arteta itu bagaimanapun gagal mempamerkan prestasi terbaik apabila merekodkan beberapa kekalahan dalam beberapa perlawanan terakhir.
Skuad kendalian Pep Guardiola kini boleh memberikan tumpuan untuk melengkapkan treble apabila berdepan Manchester United dan gergasi Itali, Inter Milan pada final Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah bulan depan.
Manchester United dan Newcastle semakin hampir untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas Liverpool seri 1-1 menentang Aston Villa.