Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee Di KLIA Sehingga 31 Mei

“Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee” anjuran kerjasama Arkib Negara Malaysia dan Malaysia Airports yang bertujuan memperingati pemergian selama 50 tahun seniman agung tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee akan berlangsung selama tiga bulan bermula 21 Mac hingga 31 Mei 2023 di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penganjuran pameran ini adalah selaras dalam usaha menyebarluaskan maklumat sejarah ketokohan Tan Sri P. Ramlee yang telah banyak memberi sumbangan dalam perjuangan memartabatkan industri seni negara serta mendekatkan masyarakat dengan tokoh-tokoh negarawan seperti beliau untuk melahirkan masyarakat yang menghargai budaya, sejarah dan warisan negara.

Pameran ini memaparkan hasil-hasil karya seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee termasuk paparan sejarah kronologi kehidupan beliau melalui konsep visual yang diinspirasikan daripada filem-filem arahan beliau.

Pengunjung juga dapat melihat sendiri pameran barangan peribadi beliau serta merasai pengalaman dari sudut hiburan menerusi pameran digital dan interaktif.

Selain itu, para pengunjung akan dapat merasai sendiri suasana seperti Studio Produksi Jalan Ampas, dengan kehadiran alat-alat peragaan yang unik serta kreatif seperti Sekolah Umum Buta Huruf, Kedai Musik Abdul Wahub, Tandas Pangkah dan lain-lain.

Selain itu, bersesuaian dengan sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi, Bazaar Isketambola turut dianjurkan bagi menarik minat lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara untuk hadir memeriahkan serta dapat membeli-belah di sini.

Pelbagai aktiviti lain turut boleh disertai oleh para pengunjung seperti permainan tradisional, menganyam ketupat dan lain-lain.

Perkongsian maklumat termasuk mesej kesepakatan sosial yang diterapkan dalam karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah relevan dan secara tidak langsung dapat memperkasakan perpaduan masyarakat Malaysia sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

Pameran Eksklusif Seniman Agung ini adalah usahasama kali kedua antara Arkib Negara Malaysia dengan Malaysia Airports ini dan adalah kesinambungan kejayaan penganjuran Pameran Khas YTM Tunku Abdul Rahman Putra bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang mendapat sambutan luar biasa pada tahun lepas di KLIA.

Majlis perasmian turut dihadiri Najua Nasir iaitu cucu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee serta wakil-wakil dari agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports dan kelab peminat P. Ramlee.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories