Perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) akan mula beroperasi sepenuhnya pada jam 3 petang 16 Mac ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu diputuskan selepas mesyuarat pascaKabinet bersama MRT Corp, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada Jumaat.
Laluan perkhidmatan awam itu akan bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral adalah projek kedua MRT Lembah Klang yang akan memberi manfaat kepada dua juta pengguna dari Kwasa Damansara sehingga ke Putrajaya.
Stesen MRT Kwasa Damansara kini adalah stesen terminal untuk kedua-dua Laluan Kajang dan Putrajaya. Ini adalah sebahagian daripada reka bentuk yang dirancang mengurangkan kebergantungan dan mengurangkan kesasakan trafik di Stesen MRT Sungai Buloh, yang berintegrasi dengan Stesen KTM Sungai Buloh.
Dengan Kwasa Damansara berfungsi sebagai stesen terminal, tren untuk kedua-dua laluan akan bermula dan berakhir di stesen ini, membolehkan penumpang bergerak dengan lancar dari satu laluan ke laluan lain.
Projek MRT laluan Putrajaya ini menelan belanja RM30.53 bilion untuk kos pembinaan dan kos sistem meliputi 36 stesen membabitkan 49 set kereta api.
Jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan MRT laluan Putrajaya dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam masa dua tahun.
Pada permulaan apabila mula beroperasi akan dimulakan dengan kekerapan lima minit untuk setiap tren.