Maybank merekodkan lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 11.6 peratus kepada RM12.15 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM10.89 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu semasa tahun kewangan dikaji turut meningkat kepada RM8.23 bilion
Keputusan kewangan yang lebih baik itu didorong oleh peningkatan aktiviti ekonomi serantau yang menyokong pendapatan operasi Maybank yang lebih tinggi serta kerugian kemerosotan nilai bersih yang lebih rendah.
Bagi suku keempat 2022 pula, Maybank mencatatkan peningkatan 21.6 peratus dalam PBT kepada RM3.31 bilion berbanding tahun kewangan 2021, apabila mendapat manfaat daripada peningkatan ekonomi serantau dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, keuntungan bersihnya pada suku keempat meningkat kepada 5.4 peratus kepada RM2.17 bilion tahun ke tahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pertumbuhan membanggakan itu mencerminkan kekuatan dan daya tahan yang telah dibangunkan Maybank sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkataa, ia juga ditambah dengan kelebihan daya saing yang diraih daripada kehadiran serantau, kepelbagaian dan tumpuan kepada pengalaman pelanggan.
Pelaksanaan program strategik (SP) strategi M25+ kami untuk meneruskan pertumbuhan yang mampan dan membina keupayaan merentas manusia dan teknologi. Pada masa yang sama, kami akan menggandakan perniagaan sedia ada dan meningkatkan kualiti aset untuk menyampaikan prestasi yang lebih baik dan membiayai perjalanan kami.
Khairussaleh berkata, pelaksanaan SP M25+ akan berpaksikan kepada lima teras strategik utama terutamanya memperhebatkan tumpuan pelanggan, mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi, mengukuhkan kehadiran perniagaan Maybank di seluruh rantau, memacu kedudukan kepimpinan dalam agenda kemampanan dan menuntut kepimpinan global dalam Perbankan Islam.
Beliau berkata, seiring dengan aspirasi menjadi peneraju dalam kemampanan serantau, Maybank terus mencatatkan kemajuan kukuh dalam sasaran kewangan mampan.
Katanya, kewangan mampan Maybank mencatatkan RM34 bilion dalam dua tahun lalu, hampir mencapai sasaran sebanyak RM50 bilion menjelang 2025.
Sumber: Berita Harian