Search
Close this search box.

Kempen Cabutan Bertuah Grab Malaysia Tawar Perodua Bezza Kepada Rakan Pemandu

Grab Malaysia melancarkan kempen cabutan bertuah untuk menawarkan peluang kepada rakan-pemandu sedia ada dan baharu memenangi dua buah kereta Perodua Bezza dan hadiah-hadiah menarik lain yang bernilai hampir RM300,000. Kempen ini mencerminkan komitmen Grab kepada rakan-pemandunya, dengan memberikan kemudahan untuk mereka menjana pendapatan di platform tersebut serta menarik lagi penyertaan rakan-pemandu baharu untuk memastikan permintaan terhadap kesalinghubungan yang kian meningkat di Malaysia dapat dipenuhi.

Kempen ini akan berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Julai 2023 dan rakan-pemandu boleh mengambil bahagian hanya dengan menyempurnakan tempahan, yang akan ditukarkan kepada bilangan penyertaan berdasarkan peringkat mereka. Rakan-pemandu yang baru menyertai Grab dan akaun yang telah diaktifkan dalam tempoh ini akan menerima 100 penyertaan dan tambahan 2 penyertaan lagi bagi setiap tempahan yang disempurnakan selepas itu.

“Misi kami adalah untuk menyediakan pilihan pengangkutan yang selamat dan mudah untuk rakyat Malaysia, pada masa yang sama meningkatkan lagi taraf hidup mereka. Dengan permintaan terhadap tempahan pengangkutan yang semakin bertambah, kami akan meneruskan usaha untuk meningkatkan dan mengoptimalkan jumlah pemandu kami yang aktif untuk kekal di hadapan gelombang ini. Kempen ini juga bertujuan memberikan dorongan kepada mereka yang ingin merebut peluang dalam ekonomi digital, supaya mereka dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk menjana sumber pendapatan tambahan,” kata Rashid Shukor, Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara, Grab Malaysia.

Grab juga komited dalam memberikan sokongan ke arah kesejahteraan dan kestabilan rakan-pemandunya menerusi GrabBenefits. Program ini menawarkan pelbagai manfaat, termasuklah akses kepada kedudukan kewangan yang terjamin menerusi insurans dan pengurangan kos, serta peluang untuk pembangunan kerjaya. Kempen ini merupakan peluasan bagi GrabBenefits di bawah kumpulan manfaat ‘Penjimatan’, khususnya dengan membantu mengurangkan kos operasi yang lazimnya perlu ditanggung oleh rakan pemandu. Kempen yang telah dianjurkan sebelum ini dengan matlamat yang sama termasuklah ‘Raya Lagi Mantap Bersama Grab’ di mana rakan-rakan Grab berpeluang mendapat penjimatan tambahan sehingga RM2,000, dan baru-baru ini syarikat tersebut turut memberikan baucar Shell bernilai RM300 untuk membantu menjimatkan kos bahan api.

“Kami tetap berpegang teguh kepada komitmen kami untuk menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak-pihak berkuasa bagi memperkemaskan peraturan dan memudahkan rakyat Malaysia mendapat akses yang saksama kepada peluang pendapatan yang fleksibel melalui ekonomi digital, supaya lebih ramai lagi dapat mencari pendapatan melalui perkhidmatan e-panggilan dan memenuhi keperluan pengangkutan harian,” jelas Rashid.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.grab.com/my/join-drive-and-win/

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories