Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) merekodkan jualan RM1.35 bilion dalam empat bulan pertama tahun kewangan 2023.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM1.28 bilion yang dicapai dalam tempoh sama tahun kewangan 2022 dan ia mewakili 38.5 peratus daripada sasaran jualan kumpulan bagi tahun kewangan 2023 sebanyak RM3.5 bilion.
Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan berkata, segmen industri, Eco Business Park (EBP) mencatatkan jualan tertinggi, menyumbang RM616 juta, membentuk 46 peratus daripada jumlah jualan yang dicatatkan setakat ini, didorong permintaan kukuh daripada peserta industri tempatan dan antarabangsa.
Jualan rumah kediaman berjumlah RM548 juta dicatatkan dalam empat bulan pertama tahun kewangan 2023 dengan minat berterusan terhadap produk naik taraf EcoWorld Malaysia.
Pendapatan masa hadapan EcoWorld Malaysia meningkat kepada RM4.03 bilion setakat 28 Februari 2023, menyediakan aliran tunai yang jelas dan keterlihatan pendapatan.
Pendapatan kumpulan dan syer usaha sama Malaysia untuk suku pertama 2023, masing-masing 9.1 peratus dan 18.9 peratus lebih rendah berbanding suku pertama 2022, berikutan tahap kemajuan kerja dan aktiviti tapak yang lebih rendah pada suku dikaji susulan tempoh perayaan Tahun Baharu Cina yang lebih awal pada Januari, dan sumbangan yang lebih rendah pada suku pertama 2023 daripada beberapa kawasan yang telah siap secara ketara dalam tahun kewangan 2022.
Walaupun pendapatan lebih rendah, keuntungan kasar pada suku pertama 2023 lebih tinggi berbanding suku sama 2022 sebanyak 10.4 peratus dan marjin keuntungan kasar meningkat kepada 26.1 peratus berbanding 21.4 peratus.
Ia mencatatkan untung bersih sebanyak RM57 juta dalam tempoh itu, sementara paras penggearan kasar dan bersih EcoWorld Malaysia pada 31 Januari 2023 kekal rendah pada masing-masing, 0.54 kali dan 0.33 kali.