Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berpuas hati setelah membelanjakan RM2 juta untuk persembahan dron sempena pertunjukan fesyen jenama tersebut yang bertemakan ‘Takes The Sky’ yang diadakan di Menara Kuala Lumpur.
Pertunjukan itu menyaksikan persembahan dron terbanyak hingga berjaya tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Jelas Azzim, dia mahu melakukan kelainan yang tidak pernah dibuat dalam sebarang pertunjukan fesyen.
Formasi dron ini dibawa khas dari United Kingdom. Saya mendapat inspirasi selepas melihat kehebatan formasi dron ini ketika bercuti ke luar negara. Apa yang dapat saya simpulkan, kos untuk formasi ini sendiri menelan belanja 80 peratus daripada kos keseluruhan. Kiranya untuk Bulan Bintang Takes The Sky ia menelan belanja RM2 juta.
Selain itu, pertunjukan itu menampilkan barisan duta dalam kalangan selebriti seperti Shukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Beto Kusyairy, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha.
Menerusi majlis itu, Bulan Bintang memperkenalkan koleksi raya Ready To Wear (RTW) sedondon seisi keluarga yang terdiri daripada 68 rekaan dan 326 pilihan warna eksklusif.
Menerusi paparan di laman web rasmi jenama tersebut, Baju Melayu Slim Fit dan Baju Melayu Tailored Fit masing-masing dijual pada harga RM194 dan RM204-RM224. Baju Melayu kanak-kanak pula dijual pada harga RM124.