BMW Motorrad Malaysia Perkenal BMW S 1000 RR Baharu

BMW Motorrad Malaysia mengakhiri penantian ramai dengan merungkaikan jentera BMW S 1000 RR yang baharu pada hari ini, didatangkan dengan aneka penambahbaikan untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai jentera superbike yang superlatif.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Dengan pengenalan BMW S 1000 RR terbaharu, ia membuka satu lagi lembaran sejarah yang mengujakan dalam legasi kejuruteraan motosikal sporty dan dinamik daripada BMW Motorrad. Sinonim dengan litar lumba, setiap aspek superbike ini telah dirumus khas dengan kebolehan untuk melakar persembahan yang terbaik, menjadikan jentera ini pilihan yang natural bagi para penunggang yang mendahagakan prestasi sukan permotoran yang sebenar lagi mengghairahkan.”

Tambah beliau, “Dengan memilih untuk memperhalusi dan menaik taraf elemen-elemen rekaan yang tertentu, BMW S 1000 RR baharu kini lebih tertumpu untuk memenuhi keperluan peminatnya yang mendambakan keunggulan. Mengendong DNA sukan permotoran prestasi tinggi, kami yakin bahawa jentera ini akan terus memberi inspirasi kepada para penunggang yang berani menyahut cabaran. Dengan BMW S 1000 RR baharu, kami ingin mempelawa para penunggang untuk meneroka sebuah dunia yang penuh dengan keghairahan, di atas dan di luar litar lumba, dan #NeverStopChallenging.”

Memahat tanda aras baharu dalam segmen superbike, BMW S 1000 RR baharu berdiri teguh sebagai antara model yang paling berprestasi tingi dalam portfolio BMW Motorrad. Dengan legasi yang menjangkau detik kemunculannya pada tahun 2009, iterasi siri BMW S 1000 RR yang terkini menaikkan lagi tanda aras bagi segmennya, dengan memperkenalkan aneka inovasi serba komprehensif yang melibatkan enjin, suspensi, casis, aerodinamik, reka bentuk dan sistem bantuan miliknya. Semua ini terikat dengan satu matlamat utama, yakni untuk terus mengungguli kedudukan yang teratas.

Seperti model yang terdahulu, komponen casis BMW S 1000 RR baharu dikimpal dalam kerangka titian aluminium yang mengintegrasikan enjin secara menyendeng ke hadapan pada sudut 32 darjah. Dengan matlamat untuk mengoptimumkan fleksibiliti lateralnya, rangka utama BMW S 1000 RR baharu telah diperkayakan dengan beberapa pembukaan pada bahagian sisi. Selain itu, sudut kepala steringnya telah didatarkan sebanyak 0.5° dan ofset bahagian pengapit bertiga telah dikurangkan sebanyak 3 mm. Geometri casis yang baharu ini disempurnakan dengan bukan sahaja kejituan tunggangan yang lebih baik, tapi juga maklum balas yang lebih jelas daripada roda hadapan. Tambahan lagi, seksyen hadapan dan belakang, serta sayap lawi jentera ini juga telah diperbaharui untuk meningkatkan prestasi aerodinamik dan sifat sporty-nya.

Menjadi jantung BMW S 1000 RR baharu ialah enjin sebaris empat silinder yang telah diperhalusi berdasarkan model yang terdahulu. Puncak kuasanya kini mencecah 154 kW (210 kk) pada paras 13,750 rpm, iaitu peningkatan sebanyak 2 kW (3 kk) berbanding iterasi yang sebelumnya, manakala nilai tork maksimumnya sebanyak 113 Nm dijana pada paras 11,000 rpm. Mengiringi kehebatan output kuasanya ialah julat kelajuan enjin yang lebih luas, dengan kelajuan maksimum enjin yang mencecah 14,600 rpm.

Selain penaiktarafan prestasi, inovasi yang lebih mengagumkan juga menambah baik aspek kawalan buat para penunggang. Ia meliputi fungsi Slide Control yang baharu dalam sistem Dynamic Traction Control (DTC), yang memberi bantuan kepada penunggang semasa memecut keluar dari selekoh. Ia didatangkan dengan dua sudut drif praset bagi sistem kawalan cengkaman, kedua-duanya memanfaatkan sensor sudut stering lanjutan bagi mengurangkan kegelinciran serta menstabilkan motosikal tersebut semasa menyendeng, yakni sebaik sahaja sudut stering praset berkenaan dicapai. Satu lagi inovasi yang menarik ialah Brake Slide Assist, merupakan sebahagian daripada ABS Pro yang dirangkumkan secara standard. Juga berdasarkan teknologi sensor stering, fungsi baharu ini membolehkan penunggang membuat pratetapan sudut drif, atau disebut sebagai drif pembrekan, untuk kegunaan semasa memasuki selekoh pada kelajuan yang terkawal. Di samping itu, BMW S 1000 RR baharu juga didatangkan dengan empat mod tunggangan – “Rain”, “Road”, “Dynamic” dan “Race”.

Secara standard, BMW S 1000 RR baharu dilengkapi dengan BMW Motorrad Race ABS, Hill Start Control (HSC), Shift Assist Pro, lampu signal LED, lampu hadapan dan belakang LED, serta M GPS Laptrigger. Juga disertakan secara standard ialah Dynamic Package, yang mencakupi Riding Mode Pro, HSC Pro, Dynamic Brake Control (DBC), Dynamic Damping Control (DDC), penggenggam hangat dan kawalan luncur. BMW S 1000 RR terbaharu dibawakan dalam dua tema warna yang menawan – Style Passion dalam Racing Red serta M Package Lightwhite yang berorientasikan sukan perlumbaan.

Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi BMW S 1000 RR terbaharu ialah:

BMW S 1000 RR Style Passion RM129,500.00
BMW S 1000 RR M Package RM149,500.00

Untuk maklumat lanjut mengenai BMW S 1000 RR baharu, para pelanggan boleh mengunjungi wakil pengedar BMW Motorrad pilihan masing-masing atau melayari www.bmw-motorrad.com.my.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories