Malayan Banking Bhd (Maybank) merekodkan peningkatan 10.7 peratus keuntungan bersih kepada RM2.27 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023.
Bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu juga mencatatkan lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM3.06 bilion daripada RM2.98 bilion tempoh sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata keputusan yang stabil itu didorong oleh penambahbaikan berterusan dalam kualiti aset serta keuntungan perbendaharaan dan pasaran serta yang menyokong pendapatan operasi bersih kumpulan.
Beliau berkata, walaupun keadaan persekitaran ekonomi global yang mencabar, pendapatan operasi bersih bagi suku dikaji meningkat kepada RM6.32 bilion.
Ini, katanya berikutan peningkatan 12.4 peratus tahun ke tahun dalam pendapatan bukan faedah (NOII) kepada RM1.53 bilion keuntungan disokong pendapatan derivatif dan pertukaran asing serta pelaburan dan perdagangan.
“Keputusan suku pertama menunjukkan kekuatan dan daya tahan Maybank walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar di waktu tekanan inflasi yang tinggi dan pertumbuhan global yang lemah.
“Kumpulan akan terus berada pada landasan dan kekal teguh untuk mengharungi cabaran yang tidak menentu, disokong oleh kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh, serta rangkaian dan aliran pendapatan yang pelbagai untuk pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairussaleh berkata, pelaksanaan strategi M25+ Maybank juga berjalan dengan baik, berlandaskan lima teras strategik utama.
Beliau berkata, lima teras itu adalah mempergiatkan tumpuan pelanggan, mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi, mengukuhkan perniagaan serantau, memacu kedudukan kepimpinan dalam agenda kemampanan serta memperkuatkan kepimpinan global dalam perbankan Islam.
Ia, katanya adalah adalah selaras dengan tujuan Menginsankan Perkhidmatan Kewangan di mana Maybank memberikan pengalaman pelanggan yang dipelbagaikan dan berkhidmat kepada masyarakat sebagai suatu unsur kebaikan di ASEAN.
“Maybank turut menambah baik lagi penawaran digitalnya dan elemen ‘tangkas’ dalam menyampaikan produk dan perkhidmatan.
“Ini termasuk memperkenalkan beberapa aplikasi perbankan dalam talian yang inovatif, penyusunan semula segmen perusahaan kecil dan sederhana runcit (RSME), PKS+ dan Perbankan Perniagaan serta model operasi cawangan baharu di Malaysia untuk menawarkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang lebih baik serta pantas,” katanya.
Khairussaleh berkata, prestasi Maybank di Singapura dan Indonesia juga merekodkan prestasi positif dan membuktikan penguasaan bank di kedua negara itu.
Beliau berkata, PBT suku pertama 2023 bagi Maybank Singapura meningkat lebih daripada dua kali ganda tahun ke tahun kepada S$231.22 juta daripada S$114 juta.
Prestasi itu, katanya disebabkan oleh penghapusan semula elaun kerugian pinjaman berbanding peruntukan untuk elaun kerugian pinjaman pada suku pertama 2022 dan suku sebelumnya.
PBT Maybank Indonesia pula pada suku dikaji turut melonjak 33.3 peratus kepada 750 bilion rupiah manakala keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti naik dengan ketara sebanyak 45.7 peratus kepada 566 bilion rupiah berbanding tahun sebelumnya.
“Ini disebabkan oleh pendapatan yang lebih baik daripada komposisi aset bank yang bertambah baik disebabkan oleh peningkatan dalam pinjaman, pendapatan fi yang lebih tinggi serta kualiti aset yang lebih baik,” katanya.