Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan kenyataan yang dibuat pihak tertentu berhubung penetapan tarikh hari raya Aidilfitri bagi tahun 1444H /2023M yang mendakwa dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.
JAKIM menerusi perkongsian di Facebook menasihati semua pihak agar menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini, yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak yang diamanahkan Majlis Raja-Raja.
Pemberitahuan hari akhir Ramadan 1444H yang disebarkan menerusi media sosial menunjukkan pada 20 April manakala 1 Syawal pada 21 April.
Paparan itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
JAKIM sebelum ini memaklumkan bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi, setelah mendapat mandat Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.