Golden Screen Cinemas (GSC) mengumumkan penutupan cawangan pawagam di Citta Mall, Ara Damansara berkuat kuasa 30 Oktober 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee, keputusan ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengoptimumkan kecekapan operasi.
“Penutupan GSC Citta Mall membolehkan kami menumpukan sumber kepada lokasi yang lebih strategik dengan kepadatan penduduk dan jumlah pengunjung yang lebih tinggi.
“Lokasi terdekat ialah GSC Paradigm Mall, yang terletak kurang daripada lima kilometer dari Citta Mall,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa GSC komited untuk menyediakan pengalaman hiburan terkini kepada pengunjung dengan mengambil kira perubahan pilihan pengguna dan keadaan pasaran semasa.
“Inisiatif kecekapan operasi lain termasuk pendigitalan dan automasi proses pembelian tiket, seperti penambahbaikan aplikasi mudah alih GSC dan pengenalan kiosk tiket dan konsesi Gen 5,” katanya.
Beliau menambah, GSC kekal komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung dan menyedari perubahan dinamik dalam pilihan pengguna untuk hiburan.
“Kami telah beralih daripada sekadar menyediakan pengalaman sinematik kepada menawarkan pengalaman hiburan yang komprehensif,” katanya.
Perubahan strategik ini dapat dilihat melalui pembukaan Aurum Theatre, The Exchange TRX, Velvet Cinemas by GSC, Sunway 163 Mall dan GSC KL East Mall.
Penutupan GSC Citta Mall menandakan fasa baharu dalam strategi perniagaan GSC yang lebih mengutamakan kecekapan dan pengalaman pelanggan.