FamilyMart Malaysia Tak Jual Produk Alkohol Di Semua Cawangan

QL Resources Bhd (QL), pemegang francais induk FamilyMart Malaysia menetapkan hala tuju jelas untuk tidak menjual minuman alkohol di semua cawangan sedia ada dan yang bakal dibuka di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Chia Song Kooi, berkata perkara itu akan dikekalkan selaras dengan inisiatif syarikat untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berstatus halal di semua rangkaian FamilyMart.

Mei lalu, pemegang francais induk FamilyMart Malaysia itu mengumumkan pemberhentian penjualan minuman alkohol di semua 360 cawangan kedainya di seluruh negara sejak Mac lalu.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan ia mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus menjadikan FamiCafé sebagai kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang menerima sijil halal.

Pensijilan halal itu juga selari dengan usaha berterusan FamilyMart Malaysia untuk memastikan pelanggannya untuk berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was dalam premis miliknya. Ketika ini, QL memiliki 372 cawangan FamilyMart di seluruh negara.

Syarikat itu menyasar membuka 60 kedai FamilyMart setahun bagi mencapai sasarannya memiliki 600 kedai menjelang 2027.

Sumber: Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories