Nestle Kekal Prestasi Mantap, Catat Untung Bersih RM620.3 Juta Pada 2022

Nestlé (Malaysia) Berhad sekali lagi mencatatkan keputusan mantap bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berasaskan jualan domestik dan eksport yang lebih tinggi. Berikutan pelbagai langkah yang diambil untuk mempertahankan margin daripada kesan kenaikan harga komoditi makanan global, tahap keuntungan dan aliran tunai Syarikat tetap kukuh.

Nestle mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM620.33 juta bagi tahun kewangan (TK) berakhir pada 31 Disember 2022 (TK 2022) daripada RM569.81 juta bagi TK21 berikutan peningkatan permintaan terhadap makanan dan minuman (F&B) pasca-pandemik.

Menerusi satu kenyataan media, syarikat itu berkata perolehan hasil turut meningkat kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.73 bilion sebelum ini yang didorong oleh jualan domestik dan eksport.

Bagi suku keempat 2022 (S4 2022), Kumpulan mencatatkan peningkatan perolehan daripada RM1.47 bilion kepada RM1.65 bilion, iaitu kenaikan sebanyak 12.4% berbanding suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya. Momentum kukuh ini dicapai berasaskan jualan domestik dan eksport lebih tinggi, yang masing-masing meningkat sebanyak 10.6% dan 18.3% hasil keberkesanan usaha menjana permintaan di samping aktiviti ekonomi yang kembali normal selepas pandemik.

En. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad berkata, pestasi kukuh Nestle pada suku terakhir tahun ini mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan jenama-jenama dekat di hati dan kekal relevan dengan keperluan dan jangkaan rakyat Malaysia.

Kami terus memanfaatkan setiap peluang untuk memacu dan memenuhi permintaan bagi jenama-jenama kami, sejajar dengan janji Good Food, Good Life kami kepada semua.

Menurut Nestle, segmen teras iaitu F&B terus mengekalkan momentum positif manakala perniagaan luar rumah (OOH) bagi keperluan restoran, hotel dan saluran jualan berkaitan hospitaliti lain, terbukti pulih dengan kukuh susulan berakhirnya sekatan pergerakan pada suku kedua 2022.

En. Aranols menambah, bagi tahun 2023, persekitaran ekonomi yang tidak menentu dijangka akan berterusan kerana tekanan inflasi yang berpanjangan serta unsur ketidakpastian dalam hal harga komoditi dan mata wang, di samping tanda-tanda jelas kemelesetan ekonomi-ekonomi utama dunia.

Harga komoditi makanan dan inflasi makanan secara khususnya akan kekal tinggi sepanjang separuh pertama 2023, tetapi kami meramalkan penambahbaikan secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini.

 

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories