Sebanyak 99 kawasan di wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Isnin ini.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, ia susulan pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.
Katanya, gangguan bekalan air akan bermula pada jam 9 pagi Isnin dan kerja pembaikan dijangka siap pada jam 3 pagi Selasa, manakala bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam hari berikutnya.
Kerja pembaikan kecemasan membabitkan paip saluran utama berukuran 2,200 milimeter di kawasan agihan berskala besar. Susulan itu, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa agak lama.
Air Selangor berkata, bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat sebaik kerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air distabilkan.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya kebocoran menjadi kritikal, kerja kecemasan pembaikan paip pecah akan dimulakan lebih awal dari tarikh dimaklumkan.
Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.