Search
Close this search box.

Ikano Centres Tingkat Tawaran Komuniti di Pusat Beli-Belah Klippa dan Batu Kawan

Ikano Centres, iaitu sebuah pembangun perniagaan pusat beli-belah terkemuka, berbesar hati mengumumkan pembukaan dua penambahan penting yang sangat dinanti-nantikan di Klippa, yang terletak di kawasan perbandaran Batu Kawan yang semakin berkembang di Pulau Pinang. Menyertai penawaran perniagaan pusat beli-belah ini ialah sebuah stesen minyak yang akan dikendalikan oleh Caltex dan kedai Decathlon yang akan mengembangkan lagi kepelbagaian penawaran yang sangat penting kepada keperluan masyarakat di sini.

Menyedari keperluan penduduk dan komuniti berhampiran, Ikano Centres mengenal pasti keperluan mendesak terhadap sebuah stesen minyak berdekatan yang menawarkan kemudahan kepada komuniti. Stesen Caltex bakal menampilkan pelbagai komponen runcit, termasuk dua kedai serbaneka, sebuah farmasi dan juga sebuah pandu lalu Starbucks sendirian, kesemuanya dijadualkan dibuka pada suku pertama tahun 2024.

“Caltex teruja untuk menjadi sebahagian daripada komuniti baharu ini di Batu Kawan dan berhasrat memberikan khidmat kepada para penduduk di sini sepenuh masa 24/7. Lokasi ini akan menjadi stesen kami yang ketiga di Batu Kawan, melengkapi stesen pertama dan kedua yang pada masa ini sedang dalam pembinaan dan dijangka dibuka pada tahun depan. Matlamat kami bukan sahaja untuk menawarkan perkhidmatan stesen minyak dan kemudahan runcit tetapi juga menyediakan penyelesaian destinasi sehenti yang selesa dan mudah diakses oleh para penduduk dan masyarakat sekitar,” jelas Dean Gilbert, Pengerusi Negara untuk Chevron Malaysia Limited.

Ikano Centres dengan bangga juga mengumumkan bahawa ia akan membina kedai Decathlon sendirian di Klippa, yang dijadualkan pembukaannya pada separuh kedua tahun 2024. Dengan ruang lantai sebanyak 21,200 kaki persegi, Decathlon akan menawarkan pelbagai barangan dan kelengkapan sukan untuk memenuhi keperluan penggemar sukan dan masyarakat sekitar Pulau Pinang. Pembukaan ini akan menjadi Decathlon yang ketiga dalam portfolio Ikano Centres selepas kejayaan pembukaannya di Pusat Beli-belah MyTOWN dan Pusat Beli-belah Toppen.

Di samping itu, Klippa baru-baru ini telah meraikan kehadiran beberapa jenama baharu, yang telah meningkatkan Luas Lantai Kasar (Gross Leasable Area, GLA) kepada 675,000 kaki persegi. Antara jenama tersebut termasuklah TMG Plus oleh Kumpulan Tunas Manja, peruncit barangan runcit yang menawarkan perkhidmatan tambahan seperti pembeli-belah peribadi, penghantaran ke rumah dan perkhidmatan pandu lalu. Hal ini menandakan kewujudan TMG Plus yang pertama di semenanjung Utara Malaysia. Jenama lain yang telah dibuka termasuklah kedai perkakas berpangkalan di Malaysia, Mr DIY Plus dan jenama anak syarikat mereka, Mr. Dollar dan Mr. Toys, Guardian, Dr Specs, dan pelbagai tempat makan yang menarik seperti Kejap Foods, CMR Express Restaurant, Zus Coffee, Chicago Chicken City, XiXiang Kaya Kopitiam dan lain-lain. A+ Go Babyland, juga telah menyertai Klippa, sekali gus memperkukuh penawaran mesra keluarga di pusat tersebut.

Tambahan pula, jenama terkenal seperti Kenny Rogers, Coffee Bean & Tea Leaf, dan A&W telah diperkenalkan kepada konsep pandu lalu F&B Klippa yang unik, sekali gus menawarkan pengalaman kulinari yang pelbagai mengikut keselesaan pelanggan. Dengan tambahan baharu Caltex, komponen pandu lalu Klippa kini telah disewakan 100%.

Adrian Mirea, Pengarah Urusan Pusat Beli-Belah di Ikano Centres berkata, “Bersama-sama IKEA Batu Kawan, kami berasa teruja untuk mencetuskan pengalaman beli-belah yang dinamik dan berorientasikan pelanggan bagi masyarakat Pulau Pinang. Matlamat utama kami adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat yang terus berubah dan menjadikan Klippa sebagai hab komersial dan istirahat yang sentiasa dikunjungi bagi komuniti Batu Kawan yang semakin berkembang. Memandangkan kami terus membina Klippa secara fasa demi fasa, kami juga akan berkembang dengan lancar bersama kawasan tumpuan dan menyesuaikan diri dengan pelbagai keperluan masyarakat yang terus berkembang. Fasa semasa ini diselaraskan secara strategik dengan kitaran hidup perbandaran ini, menyediakan pelbagai tawaran yang relevan dan menarik yang memenuhi gaya hidup komuniti di sini. Dengan mengaturkan secara teliti adunan penyewa strategik kami, kami memastikan Klippa terus kekal sebagai sebuah destinasi yang bersepadu dengan kehidupan harian warga komuniti.”

Arnoud Bakker, Pengarah Komersial di Ikano Centres menekankan bahawa proses pemilihan penyewa dilakukan dengan pertimbangan yang berhati-hati untuk memastikan adunan yang seimbang antara jenama terkenal dengan penawaran unik. Beliau menjelaskan, “Komitmen kami untuk mewujudkan ekosistem runcit yang menambat perhatian terus bertahan, sebagaimana yang dibuktikan oleh kadar penginapan kami yang mengagumkan sebanyak 98%. Pencapaian ini tidak mengubah sasaran kami; malah, kejayaan ini menyemarakkan lagi dedikasi kami terhadap usaha untuk terus menambah baik pengalaman pusat beli-belah. Kami terus fokus untuk menyelaraskan fasa pembangunan pelan induk semasa kami dengan keperluan komuniti yang terus berkembang, meningkatkan jumlah pengunjung, dan menggalakkan kesetiaan pelanggan. Matlamat kami adalah untuk menjadikan Klippa sebagai tempat pertemuan komuniti yang dinamik, yang membolehkan orang ramai berkumpul, berhubung, dan menikmati pengalaman beli-belah yang mengujakan.”

Merentas semenanjung, Ikano Centres teruja untuk berkongsi bahawa Pusat Beli-Belah Toppen, iaitu destinasi komuniti sehenti di selatan tanah air akan membuka sebuah fasiliti sukan yang tercanggih dengan kerjasama Forum Group dan penambahan pusat hiburan baharu, Game On Theme Park oleh Next Gen. Fasiliti sukan ini akan menampilkan 17 gelanggang badminton dan 2 gelanggang pelbagai fungsi, sekaligus menyediakan ruang yang luas bagi para peminat sukan untuk melibatkan diri dalam aktiviti kegemaran mereka. The Hub di Toppen, yang merupakan komponen pusat beli-belah baharu di atas bumbung tempat letak kereta bertingkat akan menempatkan gelanggang badminton baharu, yang sedia untuk dibuka pada akhir tahun ini. Game On Theme Park oleh Next Gen merupakan taman tema dalam bangunan yang direka khusus untuk menyediakan pilihan hiburan yang mengujakan bagi para pengunjung daripada segenap lapisan usia.

Ikano Centres kekal komited terhadap visinya untuk menggalakkan perkembangan komuniti dan menambah baik landskap runcit di kesemua destinasinya. Usahanya yang berterusan untuk memperkenalkan penawaran yang baharu dan pelbagai akan terus mencetuskan impak yang positif kepada kehidupan para pembeli-belah dan mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories