Search
Close this search box.

Google Cipta Doodle Khas Kenang Hari Lahir Kartunis Usop Sontorian, Keluang Man

Google Doodle hari ini meraikan hari kelahiran ke-67 Allahyarham Kamarudin Ismail, lebih dikenali sebagai Kamn Ismail, yang merupakan seorang tokoh terkemuka dalam dunia animasi Malaysia. Lebih khusus lagi, beliau merupakan seorang perintis dalam penggunaan teknologi komputer dan aplikasi digital dalam animasi pada tahun 90-an.

Dari tahun 1991 hingga 1997, Kamn menyertai Kharisma Pictures (M) Sdn Bhd untuk membentuk dan melatih kumpulan juruanimasi pertama untuk mencipta siri animasi pertama bertajuk ‘Usop Sontorian’. Ia mengambil masa hampir 3 tahun dan 94 kakitangan berdedikasi untuk menghasilkan sejumlah 49 episod. Kerja keras mereka membuahkan hasil apabila siri animasi itu dikeluarkan untuk tontonan umum di TV1 RTM dan menjadi hit segera di seluruh Malaysia serta meningkatkan keyakinan bagi industri animasi tempatan pada masa itu. Pada tahun 1996, Kamn mewakili delegasi Malaysia ke Festival Animasi Antarabangsa ke-6 yang diadakan di Hiroshima, Jepun, di mana beliau telah diberi peluang untuk memberi kesedaran mengenai dunia animasi di Malaysia dan mempamerkan episod dari siri Usop Sontorian kepada seluruh dunia.

Kamn kemudiannya menyertai UAS Animation Studios (M) Sdn. Bhd. sebagai salah seorang pengarahnya pada tahun 1997. Tugas pertamanya adalah untuk menghasilkan siri animasi yang popular, justeru ‘Keluang Man’ dihasilkan pada tahun yang sama. Ia mengisahkan tentang seorang pesakit di hospital mental di Tampoi bernama Borhan, yang juga dikenali sebagai Keluang Man – seorang adiwira yang membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakan kongsinya yang dipercayai, Tiong Man. Keluang Man merupakan animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D. Kesukaran menghasilkan gerakan animasi dan gerakan kamera dengan cara yang lebih menarik adalah sebab mengapa Kamn memutuskan untuk menggabungkan kedua-dua kaedah tersebut.

Apabila krisis ekonomi melanda, ia turut menjejaskan kestabilan ekonomi syarikat yang bersamanya. Bagaimanapun, semangat kentalnya untuk menghasilkan animasi tempatan telah mendorongnya untuk menubuhkan syarikat sendiri, Quest Animations (M) Sdn. Bhd. pada tahun 2001 untuk menerbit dan mengarah siri animasinya sendiri.

Antara animasi yang pernah dihasilkannya menerusi syarikatnya sendiri adalah Che Nat, Kumang, Toman 1, Kumang Lagenda Sarawak, Lagenda Kinabalu, Pusaka, Pejuang, Duwi, Kiddo Science World, dan Mat Kilau.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

More Stories