Trending

Sekolah Di Selangor, Kuala Lumpur & Putrajaya Tutup 14 – 27 Oktober

Reading Time: 2 minutes

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam 14 hingga 27 Oktober ini berikutan peningkatan kes COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, sekolah vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup mulai 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020. Institusi pendidikan di Sabah pula diarah tutup mulai 13 Oktober hingga 26 Oktober.

Penutupan ini juga akan melibatkan institut pendidikan di bawah KPM yang mempunyai asrama. Ibu bapa atau penjaga boleh mengambil pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang. Murid yang ingin kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah pengawasan warden. Keperluan makan dan minum akan disediakan oleh institusi pendidikan.