Trending

Guru Wanita Mangsa Terbaru Macau Scam, Rugi RM1.1 Juta

Reading Time: < 1 minute

Sindiket Macau Scam masih lagi berleluasa apabila seorang guru dilaporkan kerugian lebih RM1.1 juta selepas diperdaya sindiket tersebut. Sindiket ini kebiasaannya akan menyamar sebagai polis penyiasat bagi tujuan memperdaya mangsa mereka.

Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang ketakutan selepas diberitahu keretanya terlibat dengan kemalangan maut dan kegiatan wang haram diarah membuka dua akaun bank miliknya dan memasukkan nombor telefon diberi suspek sebagai nombor telefon pemilik akaun.

Selepas numbor telefon ditukar, mangsa kemudian diarah memindahkan wang simpanan miliknya ke dalam akaun diberikan suspek kononnya bagi tujuan siasatan..

Bukan itu sahaja, mangsa juga diarahkan menyediakan wang jaminan sehingga menyebabkan mangsa membuat pinjaman peribadi di beberapa bank sebelum memasukkan wang itu ke dalam akaun diberikan suspek.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan meminta orang ramai hadir ke balai polis berdekatan untuk sebarang pertanyaan atau keraguan berhubung perkara ini.

Beberapa hari lalu media melaporkan SPRM membekukan hampir 750 akaun membabitkan wang tunai lebih RM75 juta yang dipercayai terbabit dengan sindiket Macau Scam. Lapan orang ditahan bagi membantu siasatan termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Baca: Macau Scam: SPRM Beku Akaun Babit RM75 Juta, Sita 24 Kenderaan Mewah