Kesihatan

Tukang Gunting Rambut Warga Asing Wajib Buat Saringan Covid-19 Sebelum Beroperasi

Reading Time: < 1 minute

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian sebentar tadi memberi peringatan kepada semua warga asing yang bekerja sebagai tukang gunting rambut agar menjalani saringan Covid-19.

Tambah beliau, hanya mereka disahkan negatif sahaja dibenarkan bekerja. Jika mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan bebas jangkitan dari mana-mana klinik dan hospital, sila lapor kepada pihak berkuasa.

“Mana-mana tukang gunting warga asing hanya boleh beroperasi setelah membuat saringan kesihatan dan disahkan negatif.”

“Jika ada kedai gunting rambut yang membenarkan pekerja warga asing mereka untuk memulakan kerja tanpa ambil swab test, kita akan ambil tindakan tutup kedai tersebut.”

Pelanggan juga mempunyai hak untuk meminta keputusan saringan daripada pekerja gunting rambut semula memulakan perkhidmatan.

“Biasa klinik akan keluarkan surat yang menyatakan tidak dikesan (jangkitan COVID-19) dalam surat dikeluarkan. Jadi pengunjung yang mahu gunting rambut berhak minta.”

“Saya minta orang ramai boleh bantu kerajaan dan bila kita minta dan mereka gagal kemuka, lapor terus kepada pihak berkuasa. Ini jelas, pekerja asing yang belum ada sijil saringan ini, ia langgar perintah kerajaan.”