Trending

Tiada Lagi Sekatan Jalan Raya Ketika PKPP

Reading Time: < 1 minute

Pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam ternyata melegakan ramai pihak terutamanya mereka yang telah berbulan lamanya tidak pulang ke kampung.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu tiada keperluan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Buat masa ini, SJR sepanjang tempoh PKPP jelas sudah tidak ada keperluannya lagi kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng COVID-19.

Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada arahan penjarakan sosial.”

Menurut beliau, tumpuan kini lebih terarah kepada pemantauan terhadap pematuhan penjarakan sosial dalam kalangan masyarakat. Justeru, perbincangan akan dilakukan dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.

“Pihak saya sedang memperhalusi butiran pengumuman Perdana Menteri tadi. Insya-Allah menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu.”

Menerusi pengumuman khas Perdana Menteri semalam, rakyat Malaysia juga dibenarkan menyambut hari raya Aidiladha Julai nanti namun mengikut SOP yang ditetapkan.

Solat jemaah dan solat Jumaat di masjid pula akan dibenarkan mengikut keluasan masjid dan hanya tertakluk kepada warga tempatan sahaja.

Sumber: Berita Harian