Trending

Wang Simpanan RM25,000 Nak Buat Modal Berniaga Hangus Terbakar

Reading Time: 2 minutes

Wang simpanan RM25,000 yang dikeluarkan seorang lelaki untuk persiapan menyambut Aidilfitri dan modal berniaga hangus dalam satu kebakaran yang berlaku petang Rabu di Jalan Nibong Stesen, Kampung Padang Jambu, Dungun.

Ghazali Baru, 63 tahun, mengakui dirinya sedikit terkilan kerana sudah beberapa hari hatinya mendesak supaya berpindah ke rumah lain sebelum rumah sewanya itu hangus terbakar. Dia bagaimanapun reda dan bersyukur kerana ahli keluarganya selamat.

“Dua hari lalu, saya keluarkan wang simpanan RM25,000 untuk persediaan menyambut Aidilfitri, selain membeli pakaian raya anak manakala selebihnya saya nak buat modal berniaga. Saya juga mahu menyimpan semula sebahagian wang ke dalam bank hari ini, namun tidak sempat berbuat demikian kerana sibuk”

Menceritakan kejadian itu, Ghazali berkata, dia berlari ke dapur setelah terdengar beberapa letupan kecil ketika sedang membersih persekitaran rumah.

“Saya berlari ke bahagian dapur rumah dan ternampak api daripada balang gas membakar dinding rumah hingga ke atap. Saya masuk ke rumah dan membasahkan selimut sebelum menutup balang gas terbabit, namun gagal sebelum api marak membakar keseluruhan rumah.”

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun Penolong Penguasa Bomba Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata api sudah marak sebaik mereka tiba.

Jentera Bomba bersama 2 Water Tander dan 1 EMRS dari BBP Dungun diketuai oleh komander operasi PPgB Mohd Aidil Khairim bin Abdul Wahab telah digerakkan ke lokasi kejadian dan di bantu oleh BBP Paka. Setelah tiba di lokasi didapati sebuah rumah jenis sementara kekal berkeluasan 40 kaki X 40 kaki telah terbakar 90%.

Anggota Bomba bertindak memadamkan kebakaran tersebut hingga padam sepenuhnya dan seterusnya memastikan tiada lagi punca api di tempat kejadian. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Sumber: Harian Metro, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu