Trending

‘Menghina Anggota Tentera!’ – Penulisan Ahli Perniagaan Bahawa Askar Hanya Makan Tidur Cetus Amarah

Reading Time: 2 minutes

Kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan berbangsa Cina, Koh Yew Yin yang menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara hanya makan tidur sahaja dan tidak pernah melepaskan tembakan melawan musuh menerima kritikan hebat daripada orang ramai.

Tulisan Yew Yin dalam laman blog kendaliannya itu menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar dan menyarankan agar kerajaan memecat pekerja yang tidak diperlukan.

Menerusi laporan Utusan, Timbalan Menteri Keselamatan, Senator Liew Chin Tong kesal dengan salah faham mengenai peranan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti yang diperlihatkan menerusi penulisan Koon Yew Yin dalam blog ahli perniagaan itu.

Tambah Chin Tong, selain menjaga keamanan negara, angkatan tentera juga memainkan peranan yang penting dalam pelbagai bidang.

Pada masa aman, angkatan tentera mempunyai peranan membantu pelbagai agensi tempatan dan misi-misi antarabangsa. Tentera adalah langkah dan pilihan terakhir bagi negara.

Memetik pepatah Latin, ‘si vis pacem, parabellum’; jika mahu keamanan, bersiap sedia untuk peperangan. Semua pihak harus faham konsep kesiapsiagaan angkatan tentera sebagai pilihan terakhir.

Menghina anggota tentera

Walau bagaimanapun artikel yang dimuatnaik oleh ahli perniagaan itu telah pun dipadam setelah menerima kecaman netizen. Sementara itu Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan penulisan Yew Yin itu sebagai satu penghinaan terhadap keseluruhan anggota keselamatan negara terutamanya anggota tentera.

Ini adalah contoh bagaimana seorang yang telah hidup kaya dan hidup selesa memperlekeh serta menghina kerja mulia anggota tentera yang sentiasa bersedia mempertahankan negara jika berlakunya apa-apa risiko keselamatan.

Tambah Shahril, kenyataan Koon Yew Yin yang terbaru ini pastinya akan menimbulkan kemarahan masyarakat. Dalam keadaan perpaduan dalam negara sedang diuji dengan pelbagai isu akhir-akhir ini, perkara ini hanya akan menambah minyak dalam api yang sedia ada.

Ketika ini, ruangan komen profil Facebook Yew Yin menerima jumlah komen yang banyak daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan kenyataan dangkal tersebut.

Sumber: Utusan