Trending

Pengguna media sosial kagum semangat penghantar makanan kurang upaya Foodpanda

Reading Time: < 1 minute

Video seorang penghantar makanan Foodpanda tular di media sosial selepas salah seorang pelanggan perkhidmatan tersebut memuatnaik video lelaki yang dikenali sebagai Amri itu.

Di dalam video yang berdurasi 8 saat itu, Amri kelihatan terhincut-hincut pulang setelah selesai menghantar pesanan makanan kepada pelanggannya yang tinggal di tingkat 14, di sebuah apartment di ibu kota.

Bercakap kepada Harian Metro, Amri mengakui tidak mengetahui akan video yang tular di media sosial itu namun dirinya tetap berterima kasih kepada semua pelanggan yang telah menyokongnya selama ini

Apa boleh saya katakan, rakyat Malaysia amat prihatin dan amat memahami keadaan saya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), jadi tidak timbul masalah dalam soal kerja.

Saya gembira jika video disebarkan itu dapat memberi inspirasi kepada OKU lain dan orang ramai. Saya percaya, OKU boleh berjaya jika diberi peluang dan sebenarnya, ramai dalam kalangan kami yang mempunyai kelulusan pengajian di peringkat tinggi.

Kemalangan jalan raya 22 tahun lalu

Amri yang kehilangan sebelah kakinya itu sejak 22 tahun lalu mengakui sukar untuk mencari pekerjaan selepas syarikat lamanya menghentikan operasi.

Mujur syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda menerima dirinya dan sepanjang empat bulan bekerja di syarikat berkenaan, dia tidak berdepan masalah, sebaliknya mendapat layanan baik daripada majikan dan pelanggan.

Tidak mudah untuk saya mendapatkan pekerjaan dengan faktor usia dan keadaan sebelah kaki yang kudung.

Namun, rezeki menyebelahi saya apabila diterima bekerja di situ dan pada mulanya, emak bimbang kerana saya pernah terbabit dalam kemalangan, tetapi tiada pilihan kerana perlu menyara keluarga.

https://www.facebook.com/baliami.balumi/videos/2335911876467003/

Sumber: Harian Metro